SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN
ALOR MENGKUDU
Sekolah
Kebangsaan Alor Mengkudu yang awalnya telah dibina pada tahun 1933 di atas
tapak jariah Encik Hasan bin Tajuddin. Usaha mendirikan sekolah dibuat secara gotong-royong.
Panjang bangunan 32 kaki berdinding buluh, manakala boleh memuatkan 30 orang
dengan guru Encik Lebai Isa bin Mahmud. Mata pelajaran yang diajar ialah
pelajaran Jawi dan Matematik. Gaji guru dibayar secara pungutan beras daripada
waris kanak-kanak.
Sekolah awal telah dirobohkan pada
tahun 1937. Pembinaan kali kedua sekolah ialah pada tahun 1938 di atas di atas tapak
jariah Tuan Haji Idris bin Abdul Rahman, Guru Pondok Haji Idris. Jumlah murid
ialah 80 orang. Pada tahun 1944, sekolah ini juga telah roboh dan murid-murid
terpaksa belajar di bawah rumah.
Pembinaan sekolah kali ketiga ialah
pada tahun 1947 dan hanya siap pada tahun 1948. Keluasan bangunan 60 x 30 kaki
di atas tapak tanah Tuan Guru Haji Idris SPK.no 5811 Lot no 557 Mukim Gerga.
Sekolah ini berbumbungkan zink, berdindingkan papan dan bertingkap. Guru besar
ialah Encik Osman bin Taib dan empat orang guru penolong.
Pada tahun 1962, jumlah murid
bertambah seramai 130 orang dan sekolah kekurangan bilik tempat belajar. Tuan
Imam Haji Hashim bin Lebai Shafie telah mewakafkan sebuah rumah kayu
kepunyaannya untuk dijadikan tempat tambahan belajar sementara kepada
murid-murid. Pada akhir tahun 1962 Sekolah Rakyat Alor Mengkudu telah diambil
alih oleh kerajaan dan dijadikan sekolah bantuan penuh. Jumlah murid seramai
160 orang, 8 orang guru dengan enam kelas dari darjah 1 hingga darjah 6.
Sekolah bantuan penuh kerajaan yang pertama ini
mula dilaksanakan pada 4 November 1966 di atas tapak tanah seluas 4 relong, No.
5811 Lot 557 Mukim Derga, Kota Setar.
Bangunan siap pada bulan Mei 1967 dengan 6 bilik darjah. Bilangan murid
pada ketika itu ialah 300 orang. Bagi Darjah 1-3 terdapat 2 kelas setiap aliran
sementara darjah 4-6 terdapat 1 kelas setiap aliran. Pada tahun 1972 bangunan
tambahan Blok `B` dua tingkat dibina mempunyai 5 bilik darjah, 1 bilik stor,
dan tandas murid lelaki dan perempuan berserta kantin.
Bagi menempung keperluan tambahan
bilangan murid sebuah bangunan tambahan dibina Blok `C`.Bangunan satu tingkat
ini mempunyai 5 bilik darjah dan antara satu bilik ini dijadikan Bilik Pusat
Sumber Sekolah (PSS). Bangunan ini siap untuk digunakan mulai tahun 1987.
Bilik-bilik sambungan telah dibina di bangunan Blok `B` untuk dijadikan surau
sebagai tempat menjalankan aktiviti amali Pendidikan Agama Islam. Sebuah tandas
guru dan stor pekerja dibina dalam tahun 1989. Pada tahun 1990 sebuah pavilion dibina
berhadapan bangunan Blok `B`. Pavillion dijadikan
“Medan Minda” untuk projek galakan membaca.
Sekolah Kebangsaan Alor Mengkudu telah
dinaik tarafkan dari Gred B ke Gred A mulai 1 Januari 1994 kerana jumlah murid
melebihi 600 orang. Dengan kenaikan gred sekolah guru besar yang sedia ada
iaitu Encik Mahmud bin Taha telah ditukarkan ke Sekolah kebangsaan Gunong,
Gunong Keriang, Kota Setar, Kedah mulai 16 April 1994.
No comments:
Post a Comment